H1N1 : SK STELLA MARIS SEKOLAH PERTAMA DITUTUP DI SABAH

Oleh Willie Jude

KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris, Tanjung Aru, dekat sini, dikatakan menjadi sekolah pertama di Sabah yang ditutup kerana wabak Influenza A (H1N1).

Sumber berkata, sekolah berkenaan juga telah menampal surat bagi memaklumkan sekolah itu akan mula ditutup esok sehingga 28 Januari depan.

Satu notis Perintah Tutup Premis yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan juga kini tular di media sosial mengatakan perkara sama.

Bagaimanapun setakat ini belum ada pengumuman rasmi dibuat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah namun ianya dijangka akan dibuat dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin ketika dihubungi turut enggan mengulas lanjut kerana beliau juga masih menunggu maklum balas dari pengarah kesihatan.

“Masih menunggu maklum balas pengarah kesihatan. Mungkin media elok tanya Datuk Dr Christina sebab perkara ini di bawah bidang kuasa beliau,” katanya.