CORONA : PENGAWASAN DITINGKATKAN DI KKIA

Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meningkatkan pengawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, susulan penularan wabak virus Corona di Wuhan, China, baru-baru ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, langkah berjaga-jaga itu termasuklah membuat ujian saringan kepada semua penumpang terutamanya membabitkan penerbangan antarabangsa.

“Pada masa ini, tiada kes-kes virus Corona dilaporkan di Sabah.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik tetapi perlu berhati-hati dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dalam kehidupan seharian seperti memakai topeng muka, mencuci tangan secara kerap dan elakkan daripada kawasan yang sesak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kira-kira jam 3 petang tadi, beliau bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah, Datuk Christina Rundi membuat kunjungan ke KKIA, untuk melakukan pemantauan rapat terhadap ujian saringan ‘Thermal Scanner’ yang ditempatkan di lapangan terbang berkenaan.

Mengulas mengenai langkah peningkatan pengawasan di KKIA, Poon berkata, pengasingan segera akan terus dilakukan sekiranya terdapat penumpang yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Sementara itu, berikutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, pihaknya menjangkakan ramai penduduk tempatan kembali untuk meraikan sambutan itu dari luar negara termasuklah kemasukan pelancong China ke Sabah.

“Sebelum ini, langkah-langkah pengawasan yang lebih tinggi adalah perlu memandangkan kejadian penularan wabak virus Corona baru-baru ini.

“Pengasingan akan dilakukan sebaik sahaja keadaan yang disyaki ditemui atau dikesan dalam penumpang untuk mencegah atau mengelakkan penyebaran mana-mana virus,” katanya.