Oleh Nio James
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal berkata, sambutan Tahun Baru Cina (CNY) adalah satu medium terbaik, untuk menonjolkan keunikan budaya masyarakat Cina di Sabah.
Beliau berkata, menerusi pesta ini, rakyat dapat mengenali keunikan salah satu daripada puluhan kaum dan budaya yang terdapat di Malaysia khususnya negeri Sabah.
“Apa yang lebih penting, perayaan ini juga diraikan oleh masyarakat lain melalui jemputan rumah-rumah terbuka dan sebagainya,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina 2020.
Shafie berkata, kesepaduan dan keharmonian perayaan Tahun Baru Cina membuktikan perpaduan di Sabah masih lagi berada pada tahap yang utuh.
“Sudah tentu, Tahun Baharu Cina adalah kesempatan untuk kita bergembira,” katanya.
Shafie berkata, beliau sentiasa ingat, sewaktu kecil beliau turut bersama-sama menyertai perayaan ini.
Bunyi dentuman mercun, disusuli dengan bunyi gendang dan tarian naga yang berwarna-warni, ia menandakan Tahun Baharu Cina sudah tiba.
Beliau berkata, Tahun Baharu Cina mengingatkan kita semua bahawa Sabah terlahir daripada kepelbagaian adat dan budaya.
“Namun, kita masih hidup dalam keadaan yang damai dan harmoni. Ini kerana kita di Sabah saling menerima dan meraikan kepelbagaian kita ini,” katanya.
Sehubungan itu, katanya sebagai rakyat Sabah, kita seharusnya menghargai kepelbagaian budaya dan latar belakang ini.
“Pada masa yang sama, kita juga perlu terus mengukuhkan keamanan dan perpaduan yang telah kita kecapi ini.
Saya percaya, semua ini akan mampu menjurus ke arah pembangunan yang lebih mapan serta kemakmuran untuk manfaat kita bersama,” katanya.
Saya, isteri dan seluruh keluarga mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikannya bukan sahaja di Negeri Sabah, tetapi juga di seluruh Malaysia amnya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ