2 PELAJAR ANTARA DITAHAN MILIKI BAKAKUK

Gambar hiasan

Oleh Wartawan BS

BELURAN: Tiga bersaudara ditahan kerana didapati memiliki senapang jenis bakakuk di kawasan ladang Myvin 2, Telupid, di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek lelaki berusia 16 hingga 19 tahun ditahan Pasukan Khas Jabatan Perhutanan Sabah, kira-kira jam 4 petang, ketika membuat rondaan dan pemeriksaan di kawasan itu selepas menerima aduan daripada orang awam.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek mempunyai tali persaudaraan yang mana dua daripada suspek masih sekolah dalam tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Telupid.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, selain senapang bakakuk dan empat butir peluru, turut dirampas sebilah parang daripada suspek.

“Senapang bakakuk itu disembunyikan di dalam timbunan pelepah kelapa sawit di dalam ladang berkenaan manakala empat butir peluru hidup dalam beg yang dipegang oleh salah seorang suspek.

“Turut dirampas sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk tujuan berburu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasim berkata, tangkapan dan rampasan kemudan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.