BANGUNKAN PUSAT PEMBENIHAN IKAN

Oleh Wartawan BS

SANDAKAN: Kerajaan Sabah dalam rancangan untuk membangunkan lebih banyak pusat pembenihan ikan di seluruh negeri.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong menerusi lawatan ke daerah ini, baru-baru ini, memberitahu pembangunan pusat pembenihan penting bagi membolehkan lebih ramai usahawan tani tempatan menceburi bidang akuakultur.

Beliau berkata, beliau bersama Korporasi Kemajuan Nelayan dan Perikanan Sabah (Ko-Nelayan) melawat pusat pembenihan seluas kira-kira lima hektar dimiliki pengusaha, Jacky Ho dan mendapati mereka kini menghasilkan benih ikan marin, termasuk ikan merah dan kerapu batu.

“Kita akan menggunakan benih yang ditetas untuk program Kerajaan Sabah. Jadi penduduk tempatan yang tidak mempunyai pengalaman tetapi berminat menceburi industri akuakultur bakal berpeluang berbuat demikian.

“Inisiatif ini adalah antara langkah penting yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pertanian Sabah 2021-2030,” katanya.

Wong berkata, pembangunan beberapa pusat pembenihan bakal mewujudkan pembekalan benih ikan yang mencukupi untuk kegunaan program akuakultur.

Jelasnya lagi, reformasi Kementerian Pertanian itu penting kerana bakal membuka peluang pengusaha tempatan untuk meningkatkan pendapatan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negeri ini.

“Selepas ini, lebih banyak tanah akan dikenal pasti untuk membangunkan program ini.

“Saya juga difahamkan pihak pelabur mempunyai 10 hektar lagi untuk tujuan perkembangan. Jadi penyelarasan antara pihak swasta dan Ko-Nelayan adalah penting untuk melicinkan proses pembekalan benih kepada peserta dalam skala yang besar,” katanya.