LOKASI DILAWAT PENGIDAP KORONAVIRUS DIJEJAKI

Oleh Wartawan BS
30 Januari 2020

KOTA KINABALU: Semua lokasi yang dipercayai pernah dilawati seorang pelancong China disahkan positif Koronavirus (2019-nCoV) di Dongil, Tianjin, baru-baru ini, telah dijejaki oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

Pelancong lelaki berusia 71 tahun terbabit dikatakan datang ke Sabah secara berkumpulan namun hanya dia seorang sahaja disahkan positif penyakit berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, berkata antara tempat berkenaan adalah Masjid Bandar Raya, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Segama, Pulau Mantanani dan Kelly Bay.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menyatakan Sabah setakat ini masih belum dikesan terdapat sebarang kes Koronavirus.

“Kabinet juga sudah mengadakan mesyuarat bagi membincang langkah yang boleh diambil mengenai perkara ini.

“Kerajaan negeri akan terus giat laksana pemantauan ke atas semua pelancong China yang memasuki negeri ini bagi memastikan tiada sebarang simptom Koronavirus.

“Sistem pemantauan kesihatan kita di negeri ini sentiasa berjalan untuk pastikan Sabah bebas dari sebarang wabak penyakit,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Pest’s Angpow mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Dewan Hakka, dekat sini, semalam.

Terdahulu, 31 penumpang bersama kru pesawat Malindo Air (OD688) dari Kota Kinabalu-Tianjin, China ditahan dan dikuarantin di sebuah hotel di Dongli, Tianjin selepas tiga penumpang mengalami demam panas pada 25 Januari lalu.

Kes pertama disahkan pada 26 Januari membabitkan seorang lelaki berusia 71 tahun berasal dari Wuhan dan melancong ke Sabah pada 19 hingga 25 Januari manakala semalam (29 Januari), satu lagi kes disahkan positif Koronavirus di Dongil, Tianjin membabitkan penumpang daripada pesawat sama.

Penumpang lelaki berkenaan juga berasal dari Wuhan dan datang ke Sabah untuk melancong.