MADIUS BERI JANS MASA SEMINGGU

Oleh Wartawan BS
31 Januari 2020

TUARAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mahu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menangani masalah bekalan air di Taman Sri Rugading, Telipok, dekat sini, dan diselesaikan dalam tempoh seminggu.

Beliau menerima aduan daripada para penduduk mengenai betapa seringnya tiada bekalan air ke rumah mereka, kadang-kadang sehingga beberapa hari.

“Saya diberitahu punca masalah air di sini (Taman Sri Rugading) adalah disebabkan masalah dalaman pengurusan yang mengagihkan air. Namun apa yang saya lihat jumlah air di dalam tangki utama milik JANS tidak mencukupi.

“Saya meminta pihak JANS untuk segera memenuhkan tangki-tangki itu dan di situ baru kita boleh lihat sama ada ia berpunca dari masalah dalaman atau bukan,” tambah beliau yang jelas kelihatan cukup marah.

“Saya juga mengarahkan JANS untuk mengaudit sistem pengagihan air menggunakan teknologi terkini oleh pengurusan taman supaya kita boleh tahu punca masalah dan sekaligus mencari penyelesaian secepatnya. Laporan audit itu wajib juga diberikan kepada saya dan pengurusan taman,” kata beliau lagi.

Leong Them Chap, pengurus besar JPHS Management mendakwa jumlah air yang masuk ke tangki utama hanya sebanyak 400,000 liter sehari walhal keperluan sehari ialah 1.6 juta liter.

JANS pula mendakwa bekalan air ke tangki cukup untuk 22 blok rumah. Setiap blok ada 100 buah rumah.

“Cukuplah menunding jari antara satu dengan yang lain. Yang jelas ada 3 blok selalu tidak mendapat bekalan air. Ini bermakna sekurang-kurang 300 buah keluarga terjejas. Saya mahu masalah ini diselesaikan dengan kadar segera,” tegas Madius yang juga merupakan Presiden UPKO.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau tangki di kawasan perumahan berkenaan yang dilaporkan mengalami masalah bekalan air yang berlarutan.

Madius juga meninjau Stesen Pum Air Telipok dan mendapati ia berjalan lancar dan teratur. Antara yang turut serta dalam tinjauan itu ialah Setiausaha Eksekutif Majlis Daerah Tuaran, Jackley Gielbert, pada jurutera dari JANS Tuaran dan wakil Jawatankuasa Bertindak Residen Sri Rugading.

Tinjauan oleh para pegawai Madius pagi tadi mendapati penghuni Blok J sedang mengambil air dari tangki di halaman rumah mereka.

Baru-baru ini, pengarah JANS, Datuk Armajit Singh ketika melawat kawasan itu memberitahu masalah bekalan air yang berlaku adalah disebabkan masalah dalaman serta sistem syarikat pembekal air di situ.

Beliau juga mendakwa air yang dibekalkan ke tangki utama cukup untuk menampung keperluan penduduk di situ.