BINA TANGKI BARU DI KAMPUNG UNGGUN

Oleh John Tambanan
1 Februari 2020

SEPANGGAR: Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) telah meluluskan pembinaan tangki penyimpanan air baharu dengan kapasiti 45,000 gelen di Kampung Unggun, Menggatal.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, pembinaan tangki itu adalah untuk menampung keperluan sekitar 200 buah rumah melibatkan kira-kira 1,000 penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya telah meluluskan satu pembinaan tangki penyimpanan air baharu di Kampung Unggun, Menggatal, dengan kos pembinaan antara RM700,00 hingga RM1 juta, dan pembinaanya akan dilakukan scepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak untuk pembinaan tangki air berkenaan di Kampung Unggun, Menggatal, semalam (Jumaat).

Turut hadir Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Amarjit Singh.

Peter berkata, KPI mengambil pendekatan untuk segera membina tangki penyimpanan air baharu kerana kedudukan yang tinggi dan semua aset-aset ataupun keperluan pam air terdahulu kemungkinan tidak lagi boleh menampung air.

“Apabila tangki air ini dapat disiapkan maka masalah air di kawasan Kampung ini akan dapat diatasi,” katanya.

Katanya, kapasiti pam juga akan ditambah bagi membolehkan air dapat di pam naik dan seterusnya dapat disalurkan kepada rumah penduduk.

Peter berkata, dalam mesyuarat yang dipengerusinya hari ini, masalah air bukan hanya berlaku di Kampung Unggun, Menggatal tetapi juga di tempat-tempat lain.

“Mesyuarat ini yang dihadiri oleh semua jurutera bahagian mendapati bahawa penambahan kapasiti penduduk menyebabkan berlakunya masalah air dimana tangki yang sedia ada tidak lagi mampu untuk menampung jumlah penduduk yang bertambah dari tahun ke tahun,” katanya.

Justeru kata beliau, KPI mengambil pendekatan untuk membina tangki baharu penyimpaman air di seluruh kawasan dan daerah yang dikenalpasi menghadapi masalah air.

“Usaha dan pendekatan kita adalah untuk membina tangki penyimpanan air di semua kawasan dan daerah yang dikenalpasti menghadapi masalah air.

Antaranya di Tuaran (Rugading), Beaufort, Tawau, Sandakan, Kudat dan daerah-daerah lain, dan saya telah mengarahkan semua jurutera bahagian supaya membekalkan tangki simpanan air dengan kadar seberapa segera,” katanya

Peter berkata, KPI juga sedia maklum bahawa pada ketika ini kedudukan air memang tidak mencukupi, contohnya di Kudat, Tawau dan kawasan lain.

“Ini disebabkan kedudukan loji terdahulu kapasiti yang direka bentuk atau dibina untuk menampung keperluan contohnya pada tahun 80an dan 2000 serta sekarang kita berada di tahun 2020 sudah pasti kapisiti air tersebut tidak cukup.

“Justeru, kita memerlukan loji dan empangan baru untuk membekalkan air untuk jangka masa panjang, dan membina tangki penyimpanan air untuk jangka pendek bagi kegunaan penduduk yang menghadapi masalah air,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *