MAUT AKIBAT MEMOTONG

Oleh Wartawan BS
1 Februari 2020

TUARAN: Gara-gara cuba memotong beberapa kenderaan, seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan di Kilometer 53.3 Jalan Telipok, Tenghilan, Kampung Pangkalan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun yang menunggang motosikal jenis SM Sport maut di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kota Belud.

“Kejadian berlaku apabila mangsa memotong beberapa kenderaan lalu masuk ke lorong bertentangan kemudian bertembung dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah Tenghilan.

“Akibat pertembungan itu, penunggang parah di bahagian badan dan kepala,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Hamizi berkata, pemandu kenderaan jenis Toyota Land Cruiser lelaki berusia 66 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa terbabit menunggang motosikal secara bahaya iaitu memotong beberapa kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.