30 SERTAI KURSUS AKAR UMBI BOLA SEPAK

Oleh Wartawan BS
3 Februari 2020

PENAMPANG: Seramai 30 peserta mengikuti Kursus Akar Umbi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Penampang yang diadakan di Kompleks Sukan Penampang, di sini, baru-baru ini.

Walaupun diadakan di Penampang, kursus berkenaan turut disertai ramai peserta dari daerah lain termasuk dari Tenom, Kudat, Keningau, Kota Marudu, Kota Belud, Nabawan, Beaufort, Membakut dan Tambunan.

Program berkenaan dikendalikan Ketua Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), Aminuddin Hussin dengan dibantu jurulatih Taufiq Cheng Abdullah sebagai Pembantu Instruktur.

Objektif penganjuran kursus itu adalah untuk melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah serta menambahkan lagi bilangan jurulatih akar umbi di Sabah khususnya di Penampang.

Selain itu, ia juga sebagai persediaan bagi jurulatih-jurulatih baru untum melatih kanak-kanak di peringkat akar umbi dengan ‘DNA FAM’ yang terkini serta melahirkan lebih ramai pemain pelapis di Malaysia.

Kursus selama dua hari itu menyaksikan kesemua 30 peserta menjalani latihan-latihan intensif secara praktikal dan amali.

Presiden SAFA PENAMPANG, Batholomew Jingulam dalam ucapan penutupannya berkata beliau amat gembira dan berterima kasih kepada semua peserta kerana menunjukkan komitmen yang tinggi.

“Ia terbukti dengan kehadiran peserta-peserta yang datang jauh dari pelusuk negeri Sabah.

“Bagi pihak SAFA Penampang, kami akan sekali lagi berkolaborasi dengan FAM untuk mengadakan kursus Lesen D di daerah ini dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Aminuddin berkata, Sabah miliki ramai pemain berbakat yang berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam sukan itu.

Bagaimanapun katanya, usaha itu perlulah ditingkatkan termasuk melahirkan jurulatih bertauliah dan berdedikasi tinggi terutama dalam melatih pemain di peringkat akar umbi yang berusia antara 8 tahun hingga 12 tahun.

“Program akar umbi memerlukan sekurang-kurangnya 12 tahun untuk pemain ini memahami, melakukan dan mengadaptasi asas yang kukuh terutama empat kemahiran teknikal utama iaitu sentuhan bola pertama, hantaran bola, belari dengan bola dan satu lawan satu.

“Semua ini juga memerlukan jurulatih yang memahami dan pengetahuan yang tinggi dalam mengendalikan umur di usia ini,” katanya.

Beliau berkata, pemain Sabah seperti Mohd Azizan Nordin, Sabri Sahar dan Maxius Musa antara pemain dikesan bakat mereka diusia 13 tahun ketika beliau dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Belia FAM pada tahun 2007 sehingga sehingga kesemua pemain itu diserap dalam pasukan skuad Harimau Muda C di bawah kendalian beliau.

“Saya juga berbangga dengan mereka (Azzizan, Sabri dan Maxsius) kerana mereka kini menjadi antara tonggak penting pasukan Sabah sehingga kini,” katanya.