MASALAH AIR DI RUGADING BAKAL SELESAI

3 Februari 2020

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) akan membina tangki penyimpanan air berkapisiti 900 juta liter bagi menampung keperluan bekalan air penduduk di Rugading, Telipok.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, pembinaan tangki berkenaan akan dilaksanakan segera bagi memastikan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk di situ, sejak akhir-akhir ini, selesai.

“Ia (pembinaan tangki air) bagi menampung keperluan jumlah pengguna yang semakin meningkat di kawasan itu termasuk Taman Sri Rugading.

“Kita tahu bahawa penambahan penduduk dan keperluan lain juga sedang meningkat dan suda tiba masanya kita menambah kapasiti penyimpanan air di kawasan ini.

“Saya percaya apabila sahaja tangki peyimpanan air di sini siap dalam masa terdekat, masalah air di kawasan ini akan dapat diselesaikan,” katanya selepas meninjau sendiri masalah bekalan air yang dihadapi penduduk di Taman Sri Rugading, hari ini.

Sebelum ini, permasalahan penduduk di Taman Sri Rugading itu turut mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Madius ketika lawatannya di kawasan perumahan itu turut meminta supaya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk menangani masalah itu dalam tempoh seminggu.

“Saya diberitahu punca masalah air di sini (Taman Sri Rugading) adalah disebabkan masalah dalaman pengurusan yang mengagihkan air. Namun apa yang saya lihat jumlah air di dalam tangki utama milik JANS tidak mencukupi.

“Saya meminta pihak JANS untuk segera memenuhkan tangki-tangki itu dan di situ baru kita boleh lihat sama ada ia berpunca dari masalah dalaman atau bukan.

“Saya juga mengarahkan JANS untuk mengaudit pengurusan taman supaya kita boleh tahu punca masalah dan sekaligus mencari penyelesaian secepatnya. Laporan audit itu wajib juga diberikan kepada saya dan pengurusan taman,” katanya.

Leong Them Chap, pengurus besar JPHS Management mendakwa jumlah air yang masuk ke tangki utama hanya sebanyak 400,000 liter sehari walhal keperluan sehari ialah 1.6 juta liter.

JANS pula mendakwa bekalan air ke tangki cukup untuk 22 blok rumah. Setiap blok ada 100 buah rumah.

“Cukuplah menunding jari antara satu dengan yang lain. Yang jelas ada 3 blok selalu tidak mendapat bekalan air. Ini bermakna sekurang-kurang 300 buah keluarga terjejas. Saya mahu masalah ini diselesaikan dengan kadar segera,” tegas Madius yang juga merupakan Presiden UPKO.

Baru-baru ini, pengarah JANS, Datuk Armajit Singh ketika melawat kawasan itu memberitahu masalah bekalan air yang berlaku adalah disebabkan masalah dalaman serta sistem syarikat pembekal air di situ.

Beliau juga mendakwa air yang dibekalkan ke tangki utama cukup untuk menampung keperluan penduduk di situ.