MADIUS GESA SEMUA BANTU KESAN AWAL PENYAKIT

Oleh Wartawan BS
4 Februari 2020

KIULU: Para pemimpin masyarakat digesa memperhebatkan usaha membantu Kerajaan memberikan kesedaran betapa pentingnya mengesan awal apapun penyakit terutama kanser.

“Kita semua mahu sihat, tiada siapapun mahu diri mereka ada penyakit. Namun, seolah-olah ramai yang seakan leka atau sengaja tidak mahu ambil tahu mengenai keadaan kesihatan mereka.

“Pencegahan lebih baik, tetapi yang sama penting ialah mengesan lebih awal,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“Kita semua maklum, kesihatan itu penting. Saya mahu anda semua, terutama para pemimpin masyarakat untuk memainkan peranan … kita berikan kesedaran kepada sesama kita.

“Apa pun penyakit, terutama kanser, kalau dapat dikesan awal, boleh dirawat dengan lebih berkesan, malah boleh sembuh sepenuhnya,” kata beliau ketika diminta mengulas ucapan beliau semasa merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2020 di Dewan Masyarakat, di sini, pagi tadi.

“Berilah perhatian dan sokong inisatif oleh Kerajaan dan persatuan bukan kerajaan seperti Persatuan Sukarela Kanser Sabah (PSKS). Mereka ini sangat memerlukan sokongan padu daripada kita semua,” tambah Presiden UPKO itu.

Madius, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian, memuji sambutan yang dianjurkan oleh PSKS dengan kerjasama Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) yang semakin mendapat perhatian rakyat.

Antara pengisian program berkenaan ialah ceramah mengenai kanser, saringan kesihatan, derma darah, pergigian, pap smear dan saringan talasemia.

Beliau juga akan mengambil kira pemintaan pengerusi PSKS, Lawrence Libur Imui yang menyatakan dalam ucapan ringkasnya memohon supaya Madius meneruskan bantuan berjumlah RM10,000 supaya persatuan boleh memperhebatkan lagi program sokongan dan kesedaran penyakit kanser.

Turut hadir PPM Kiulu Suali Sikir, OCPD Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim, serta wakil daripada jabatan dan NGOs.