PENGALAMAN BERGUNA DARI INDONESIA

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah menimba banyak pengalaman dan pengajaran daripada aksi pra musim mereka di Indonesia, baru-baru ini.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon, berkata segala pengalaman dan pengajaran itu juga sangat berguna kepada pasukan dalam usaha mereka membentuk pasukan untuk menghadapi saingan Liga Super yang akan membuka tirainya tidak lama lagi.

“Tujuan utama kami ke Indonesia ialah untuk mencari keserasian di kalangan pemain serta menguji kesemua pemain yang ada agar kita bukan hanya memiliki kesebelasan utama yang baik tetapi juga pemain simpanan yang boleh beraksi pada bila-bila masa apabila diperlukan.

“Kami juga telah mencuba beberapa corak permainan dan menguji pemain di beberapa posisi khususnya pemain import dan saya yakin ketua jurulatih (Kurniawan Dwi Yulianto) telah mengenal pasti apa yang terbaik buat pasukan untuk saingan Liga nanti,” katanya.

Henry berkata, ada beberapa kelemahan yang perlu diatasi skuad Tambadau namun mereka masih memiliki sedikit masa untuk memperbaikinya sebelum saingan sebenar bermula nanti.

“Masih ada beberapa kelemahan yang kita kenal pasti tetapi kita masih mempunyai sedikit masa.

“Kami sebenarnya sangat beruntung kerana mengharungi pra-musim yang sangat mencabar kerana bertemu kelab-kelab besar di Indonesia.

“Para pemain juga menimba pengalaman berharga di sini terutama ketika beraksi dengan pasukan yang kuat dengan disaksikan puluhan ribu penyokong mereka,” katanya.

Terdahulu, Henry turut berterima kasih kepada presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony kerana memberi peluang kepada pasukan untuk mengharungi pra-musim di luar negara.

“Datuk (Peter) sangat memahami situasi pemain serta pasukan dan tahu aksi pemanas badan sebelum saingan sebenar bermula sangat penting,” katanya.

Sabah sebelum ini memulakan pra-musim mereka di Indonesia dengan aksi persahabatan bertemu Persebaya Surabaya dan tewas 3-1.

Mereka kemudian menyertai kejohanan jemputan Piala Gabenor Jawa Timur di Malang dan mencatat dua kekalahan serta satu seri dalam aksi kumpulan B pertandingan itu.

Aksi pertama dan kedua menyaksikan Tambadau tewas 2-0, masing-masing kepada Arema FC serta Persija Jakarta dan kemudian seri 2-2 dengan Persela dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Pada musim baharu nanti, Tambadau bakal beraksi dalam saingan Liga Super selepas tujuh musim selepas mereka dinobatkan sebagai juara Liga Perdana, musim lalu.

Aksi pertama Sabah dalam saingan Liga Super nanti ialah bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di gelanggang lawan.