LARI DARI TAHANAN POLIS

KOTA KINABALU: Tindakan seorang Orang Kena Tahan (OKT) yang melarikan ketika dibawa menaiki lori polis selepas selesai urusan reman di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, petang tadi, hanya sia-sia apabila dia berjaya diberkas semula.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, suspek berusia 34 dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi tujuan reman atas kesalahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Ketika suspek hendak dinaikkan ke dalam lori pasukan polis sebaik selesai dibacakan permohonan reman, suspek dipercayai bertindak melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil siasatan mendapati, OKT terbabit dipercayai melucutkan tangannya daripada gari yang dipasang sebelum bertindak melarikan diri.

“Anggota polis yang melihat kejadian itu segera mengejar suspek dan berjaya menangkap suspek di kawasan semak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

“OKT mengalami bengkak di pergelangan tangan kanan kerana tindakannya untuk meloloskan tangannya daripada gari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana suspek boleh meloloskan diri ketika kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.