11 SETINGGAN MUSNAH

KOTA KINABALU: Hampir 100 orang hilang tempat tinggal selepas 11 rumah setinggan yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Gentisan, Sepanggar, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat ke rumah lain berikutan kedudukan kediaman yang rapat, selain struktur diperbuat daripada kayu.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, namun sebahagian besar penghuni tidak sempat menyelamatkan barangan serta dokumen penting.

Ketua Zon I, Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.49 pagi dan enam jentera serta tiga unit utiliti dengan kekuatan 29 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, beberapa rumah rumah terbakar dan anggota bomba terus melakukan pemadaman untuk mengelak api merebak ke rumah berdekatan kerana jarak antara rumah terlalu dekat.

“Bomba berjaya mengawal api daripada merebak jam 2.11 pagi dan kebakaran memusnahkan 11 rumah jenis tidak kekal dengan keluasan dua ekar,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan bahan mudah terbakar kerana rumah diperbuat daripada kayu dan papan lapis selain jarak di antara rumah adalah rapat.

“Anggota bomba dapat mengawal beberapa buah rumah berhampiran daripada terbakar.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi pemadaman tamat jam 4.36 pagi,” katanya.

Tambah beliau lagi, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.