KUNAK: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi Gasak Laut di tiga perkampungan atas air, di sini, awal pagi tadi.
Ia membabitkan Kampung Pangkalan (Sumil), Kampung Kunak Jaya Laut dan Kampung Kulluk.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata operasi yang bermula seawal jam 3 pagi itu antara lain bertujuan untuk mengekang kemasukan dan kewujudan PATI yang disyaki menjadi tali barut kepada kumpulan culik untuk wang tebusan (KFRG) terutama di kawasan ‘hotspot’ seperti perkampungan setinggan atas air yang sentiasa dijadikan ‘staging points’, selain menjadi tempat persembunyian penjenayah.
Selain itu, katanya, operasi itu juga bertujuan menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi bagi mewujudkan elemen cegah rintang di kawasan berkenaan.

“Operasi yang disertai oleh 176 anggota keselamatan dan agensi awam itu telah memeriksa seramai 255 orang. Daripada jumlah itu, seramai 41 orang ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan.
“Kesemua PATI yang terdiri daripada 21 lelaki dan 20 wanita berumur antara enam hingga 65 tahun itu dibawa ke pusat tahanan sementara (PTS) Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal masing-masing.
“Kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Hazani berkata, SESB turut melaksanakan operasi pemotongan terhadap rumah setinggan yang didapati membuat penyambungan elektrik secara haram.
Katanya, ESSCOM akan memperhebatkan lagi operasi gasak pada masa akan datang dalam usaha untuk memburu saki baki talibarut KFR di samping membendung kawasan hotspot daripada sebarang unsur jenayah.
“Jika operasi seumpama ini tidak dilaksanakan secara berterusan terutama di kawasan hotspot dan kawasan tertentu yang disyaki menjadi tempat kegiatan dan persembunyian penjenayah, dikhuatiri ianya boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.
Hazani berkata, beberapa ancaman yang telah dikenal pasti dan sering berlaku di kawasan hotspot di pantai timur Sabah perlu ditangani secara berkesan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada kegiatan jenayah rentas sempadan yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK