KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Christina Liew mengulangi pendirian parti itu untuk berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyangkal dakwaan bahawa pemimpin PKR Sabah telah menimbulkan keraguan terhadap kepimpinan ketua menteri.
“Dakwaan itu adalah tidak benar. Persoalan mengenai keraguan terhadap kepimpinan Ketua Menteri tidak pernah dibangkitkan langsung. Kami adalah sebahagian daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai kerajaan dan berdiri teguh di belakang beliau dalam kepimpinan beliau mentadbir negeri.
“Kami secara terang-terangan berikrar menyatakan sokongan kuat kami kepada kepimpinan Datuk Seri Shafie demi kepentingan kemajuan dan pembangunan lebih besar bagi Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Christina berkata sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Api Api dan Ahli Parlimen Tawau, beliau menyokong penuh kepimpinan ketua menteri.
“Ketua Menteri telah berjaya membuktikan kecekalannya untuk 21 bulan yang lalu,” tambahnya.
Berhubung khabar angin bahawa beliau akan berpaling tadah, beliau menjelaskan perkara sedemikian tidak akan berlaku.
“Saya berpegang teguh kepada prinsip kesetiaan tidak berbelah bahagi dan integriti,” tegasnya.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius