WARISAN TIDAK GENTAR KERAJAAN RAPUH MUHYIDDIN

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan tidak gentar dengan kerajaan baharu Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat kini masih tidak stabil berikutan tidak mendapat sokongan yang mencukupi daripada Ahli Parlimen.

Ketua Wira Warisan Datuk Mohd Azis Jamman berkata kerajaan Persekutuan yang telah ditubuhkan itu masih rapuh kerana kekuatan Muhyiddin masih belum diuji di Parlimen

“Saya memberi amaran bahawa perlawanan separuh masa kedua ‘bola sepak’ belum bermula. Ini hanya separuh masa perlawanan ‘bola sepak’. Mari lihat apa yang berlaku pada babak kedua, apabila Ahli Parlimen berkumpul di Parlimen, ” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain yang menggesa pemimpin UMNO untuk menentang sebarang kerjasama dengan Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan UPKO di Sabah.

Ahli Parlimen PH dan Warisan dijangka akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada sidang Parlimen yang akan datang.

Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata pada ketika ini, Muhyiddin yang dipercayai tidak mempunyai cukup Ahli Parlimen untuk membentuk majoriti, mungkin berfikir dua kali sebelum mengganggu Mohd Shafie Apdal (Ketua Menteri) di Sabah.

“Jika PH boleh digulingkan dengan mudah dari kerajaan persekutuan walaupun ia mempunyai majoriti yang mencukupi, apa lagi pemimpin yang tidak mempunyai sokongan majoriti,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Azis berkata para pemimpin Warisan mempunyai prinsip dan martabat setelah melalui pelbagai rintangan sebelum membentuk kerajaan negeri.

“Jangan fikir Warisan adalah “cincai” pemimpin kita adalah ‘street fighter’. Sebelum ini, kami telah melawan kerajaan persekutuan dan negeri. Apa yang membuat anda berfikir bahawa kita tidak akan selamat? Warisan masih merupakan kerajaan negeri, ” katanya.