UPKO, WARISAN SEHALUAN

KOTA KINABALU: UPKO sehaluan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang hari ini mengekalkan pendirian menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

“UPKO bermula pada 10 Mei 2018 (selepas PRU14) hingga kini terus konsisten di mana ketika itu kita telah menyelamatkan mandat rakyat yang sudah jelas dengan menyertai pembangkang ketika itu bagi menubuhkan kerajaan.

“Pada 29 Februari baru-baru ini juga, kita sekali lagi mempertahankan mandat rakyat pada PRU lalu dengan memberi sokongan kepada Tun (Mahathir) sebagai Perdana Menteri.

“Kita mempertahankan mandat ini secara konsisten kerana bagi UPKO yang utama itu adalah rakyat dan itulah menjadi prinsip kita, menjadi panduan kita dalam membuat keputusan mana satu kepimpinan yang harus kita beri sokongan…landasannya adalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah serta Ahli Parlimen dari negeri ini, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan dengan sekutunya di negeri ini iaitu UPKO, DAP dan, PKR akan berada bersama pembangkang di Dewan Rakyat.

“Dalam soal pentadbiran Sabah, kerajaan negeri pimpinan Warisan hanya akan menjalin kejasama dengan Kerajaan Persekutuan dari segi pentadbiran antara Kerajaan dan Kerajaan (G2G).

“Kita telah nyatakan kedudukan kita dan pendirian kita di peringkat negeri Sabah bahawa kita akan terus memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Turut hadir adalah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Christina Liew dan Pemangku Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Selain itu, kesemua empat ADUN UPKO iaitu Datuk Ewon Benedick, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Limus Jury, dan Datuk James Ratib juga hadir pada perjumpaan itu.