KERAJAAN SABAH KEKAL SOKONG MAHATHIR

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) konsisten dengan pendirian sebelum ini untuk terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali gus menolak kerjasama politik dengan kerajaan baharu Persekutuan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, susulan keputusan itu Warisan dengan sekutunya di negeri ini iaitu DAP, PKR, dan UPKO akan berada bersama pembangkang di Dewan Rakyat.

“Dalam soal pentadbiran Sabah, kerajaan negeri pimpinan Warisan hanya akan menjalin kejasama dengan Kerajaan Persekutuan dari segi pentadbiran antara Kerajaan dan Kerajaan (G2G).

“Kita telah nyatakan kedudukan kita dan pendirian kita di peringkat negeri Sabah bahawa kita akan terus memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata demi kepentingan rakyat Sabah akan meneruskan kerjasama kepada mana-mana Kerajaan Persekutuan yang ada untuk membolehkan supaya kepentingan rakyat sama ada daripada segi kesihatan, pendidikan dan juga keselamatan dapat diteruskan.

Turut hadir adalah Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Christina Liew dan Pemangku Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Semua sembilan ahli parlimen Warisan dan tiga ahli Parlimen DAP di negeri ini hadir pada perjumpaan itu.

Daripada tiga ahli parlimen PKR di Sabah hanya Christina, hanya ahli parlimen Tawau hadir dan dua ahli parlimen PKR tidak hadir adalah Jonathan Yassin (Ranau) dan Awang Hussaini Sahari (Putatan).

Dalam blok kerajaan negeri, 43 ADUN terdiri 31 ADUN Warisan, DAP (enam), UPKO (empat) dan PKR (dua).