SHAFIE : CADANGAN HAJIJI TIDAK PATUT

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan cadangan untuk mewujudkan semula Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) bertentangan dengan tuntutan kuasa yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri daripada kerajaan persekutuan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata pihaknya kesal dengan pandangan dan pendapat dikemukakan oleh Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu.

“Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mengetuai pimpinan kerajaan negeri dari mula lagi berkerja keras untuk mendapatkan semula hak Sabah dari kerajaan persekutuan.

“Kami sentiasa mempertahankan pendirian ini dan kami akan meneruskan berbuat demikian kerana isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mendapat semula hak kita merupakan sesuatu yang hampir di hati orang Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Meja Bulat Ekonomi Islam Sedunia di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata tidak sepatutnya Hajiji yang merupakan anak jati Sabah mencadangkan untuk mewujudkan semula JPPS yang sama seperti memberikan lebih banyak hak Sabah kita ke tangan orang lain.

Semalam, Bersatu Sabah mencadangkan JPPS diwujudkan semula di Sabah memandangkan kedudukan kerajaan negeri itu yang berstatus pembangkang.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata sebagai orang Sabah, Hajiji harus peka dan mengetahui apa pendirian rakyat Sabah.

Mengenai dakwaan pembayaran elaun kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini akan dihentikan oleh kerajaan persekutuan, Mohd Shafie berkata beliau akan mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali bagi melihat kerangka yang ada.

Katanya pemimpin masyarakat yang dilantik dalam MPKK membuat perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

“Jangan bimbang sangat, kita akan lihat kerangka mana yang boleh dilakukan. Kerajaan negeri boleh menguruskan sendiri (bayaran elaun kepada MPKK,” tambahnya.