LAGI KES POLIO

SANDAKAN: Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun disahkan dijangkiti polio, menjadikan empat kes penyakit itu di Sabah, setakat ini.

Kanak-kanak bukan warganegara itu disahkan polio oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia pada 5 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kanak-kanak itu yang mengalami gejala lemah kaki kiri pada 18 Januari lalu dan dirawat di hospital, kini berada di dalam keadaan stabil.

Katanya, tiga daripada empat kes yang direkodkan di negeri ini membabitkan kanak-kanak bukan warganegara yang tidak pernah menerima vaksin.

“Hanya satu kes yang masih dirawat di hospital iaitu bayi berumur tiga bulan dari Tuaran dan berada dalam keadaan stabil, tetapi masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah meneruskan semua aktiviti kawalan dan pencegahan wabak polio dengan Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) yang bermula semenjak 27 Disember 2019 secara berperingkat diteruskan,” katanya, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Noor Hisham berkata, kementerian juga mengesan seorang kanak-kanak perempuan bukan warganegara berumur dua tahun di Semporna mengalami gejala Acute Flaccid Paralysis (AFP) ketika aktiviti kawalan dan pencegahan wabak polio dijalankan di lapangan pada Januari lalu.

“Kanak-kanak itu dilaporkan mengalami demam disusuli lemah kaki hingga tidak dapat berjalan seperti biasa, namun tidak dibawa untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil penelitian panel pakar, kes ini diklasifikasikan sebagai ‘polio compatible’, memandangkan gejala yang dialami adalah mirip kepada polio,” katanya.

Noor Hisham berkata, kementerian juga menjalankan pemantauan persekitaran bagi mengesan virus polio dan sehingga Ahad lalu,
sebanyak 13 sampel air kumbahan diambil dari beberapa lokasi di Sabah pada dikesan virus polio.

Katanya, pemantauan persekitaran ini telah diperluaskan ke semua daerah di negeri ini bagi memastikan virus polio dapat dikesan awal, agar langkah kawalan dan pencegahan dapat dijalankan dengan segera.