KAWAL COVID-19, JUMLAH PELAWAT HDOK DIHADKAN

SANDAKAN: Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini menghadkan jumlah pelawat wad di hospital berkenaan kepada maksimum dua orang untuk setiap pesakit pada satu masa.

Pengarah HDOK, Dr Francis Paul dalam kenyataannya berkata, ia peraturan baharu kepada pelawat sebagai langkah kawalan penularan penyakit berjangkit COVID-19.

Katanya, hospital itu juga tidak membenarkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah melawat pesakit di wad.

“Pelawat yang bergejala Influenza seperti sakit tekak, selesema, demam, muntah dan cirit-birit adalah tidak dibenarkan berada di wad.

“Peraturan ini berkuatkuasa serta-merta dan sebarang perubahan akan dimaklumkan kelak,” katanya di sini, hari ini.

Francis berkata, masa melawat juga dipendekkan iaitu bermula jam 1 petang hingga 2 petang dan 5 petang hingga 6.30 petang, termasuk hari bekerja, cuti umum dan cuti am.