SABAH BERPOTENSI IKUTI TAHAP KEMAJUAN SINGAPURA

SANDAKAN: Sabah mempunyai potensi untuk maju dan menjadi setanding dengan Singapura, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata jika melihat ke atas peta negeri ini dan pulau Borneo, perairan pantai timur dan barat menjadi laluan kapal antarabangsa termasuk China, Jepun, Korea dan Filipina untuk ke negara lain seperti Australia.

Katanya, kapal antarabangsa bagaimanapun tidak singgah di pelabuhan negeri ini kerana tiada barangan perlu diambil.

“Keputusan Presiden Joko Widodo (Presiden Indonesia) memindahkan ibu kota negara dari Jakarta ke Kalimantan adalah kerana melihat peluang perdagangan yang ada di Selat Lombok-Makasar.

“Apabila dipindahkan, mereka boleh bina pelbagai kemudahan seperti pelabuhan. Ini beri peluang kepada Sabah untuk menjadi pelabuhan penting.

“Kita ada pelabuhan POIC Lahad Datu dan kita sudah bersedia untuk tarik pelabur datang ke sini,” katanya berucap pada merasmikan Program Gelombang Pantai Timur UPKO Libaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Muhibbah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Madius berkata, berbanding Singapura yang kini menjadi negara berdaulat selepas keluar dari Malaysia, kekayaan negara itu adalah berkali ganda berbanding negeri ini.

“Apabila kita memahami perbandingan kekayaan hari ini, baru kita faham kita sebenarnya miskin, jauh miskin banding Singapura.

“Hari ini beribu rakyat Sabah yang keluar dari universiti, tetapi tidak mempunyai pekerjaan dengan kadar pengangguran di negeri ini sudah mencapai 5. 8 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meminta semua pemimpin dan rakyat menumpukan terhadap usaha menarik pelabur ke negeri ini dan mempromosi pelbagai bidang termasuk pelancongan dalam usaha membangunkan negeri.

Pada majlis itu, Madius turut menerima borang keahlian baharu seramai 1,897 ahli membabitkan 24 cawangan di Libaran.

Terdahulu, orang ramai yang tiba pada program itu mengambil langkah keselamatan dengan memakai penutup muka, tidak bersalaman serta disediakan cecair pembasmi kuman ‘hand sanitizer’ sebelum memasuki dewan sebagai langkah berjaga-jaga mengelak penularan COVID-19.

Turut hadir Ketua Bahagian UPKO Libaran, Dr Peter Naintin dan Ketua Bahagian UPKO Beluran yang juga merupakan Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang. /BERITA SABAH