SANDAKAN: Rakyat digalakkan membantu mempromosi potensi pelaburan khususnya di pantai timur negeri ini dalam usaha menarik pelabur ke Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata kementerian bekerja keras untuk mempromosi potensi negeri ini kepada pelabur dan mewujudkan inisiatif ‘merakyatkan pelaburan’ untuk menarik orang ramai terbabit dalam usaha itu.
Menerusi langkah itu, jelasnya, kementerian menyediakan maklumat berhubung potensi pelaburan utama seperti sumber asli dan bidang pemprosesan hiliran, selain kedudukan strategik negeri ini yang mampu menjadi laluan perdagangan utama.
“Kita galakkan rakyat Sabah mempromosi potensi negeri ini menerusi laman sosial mereka seperti Facebook, blogspot dan sebagainya kerana saya percaya masih ramai yang tidak sedar mengenai kelebihan Sabah.
“Dengan cara ini, orang ramai akan faham kita mempunyai potensi dan saya yakin jika kita bekerjasama, tidak mustahil Sabah boleh menjadi seperti Singapura dan pilihan utama untuk pembuatan sumber asli,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Andamy Square pagi tadi.

Madius berkata, selain kedudukan strategik negeri ini yang terletak dalam laluan kapal perdagangan, Sabah juga berada di tengah Asia dalam Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Katanya, Sabah juga sudah bersedia untuk menerima pelabur untuk terbabit dalam industri pemprosesan hiliran menerusi pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit Lahad Datu (POIC).
“Kita sedang menunggu pelabur yang sudah menandatangani perjanjian dengan kita untuk melabur di POIC Lahad Datu dengan nilai pelaburan berjumlah RM13 bilion.
“Saya yakin pada masa hadapan, ia akan lebih berkembang dalam industri pemprosesan hiliran minyak dan gas,” katanya.
Mengenai pelabuhan Sandakan, katanya, ketika ini pelabuhan itu hanya untuk kapal penumpang dari daerah ini ke Zamboanga, Filipina.
“Cabaran untuk Sandakan, kita ada pelabuhan, namun kapal tidak boleh masuk kerana faktor kedalaman laut. Jika mahu dalamkan laut, ia dianggarkan memakan kos yang mahal sehingga RM300 juta,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ