COVID-19 : CUTI SEKOLAH MUNGKIN DIPANJANGKAN

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan untuk kemungkinan memanjangkan tempoh cuti sekolah yang sedang berlangsung sekarang bagi membendung COVID-19 daripada merebak di kawasan berisiko tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata, lebih banyak langkah mungkin perlu diambil pihak kerajaan untuk mengawal penularan virus berkenaan di negeri ini.

“Saya merayu orang ramai mengurangkan aktiviti manakala syarikat swasta dapat membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah jika perlu.

“Elakkan perjalanan yang tidak penting dan sentiasa peka kepada nasihat pegawai kesihatan.

“Kita boleh mengatasi masalah ini jika semua orang melakukan tanggungjawab masing-masing,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Shafie berkata, sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah telah mengesahkan 49 kes berlaku di negeri ini.

“Saya amat prihatin dengan penularan wabak COVID-19 di Sabah dalam jangka masa yang sangat singkat.

“Pihak berkuasa kesihatan juga amat bimbang jumlah kes yang dijangkiti akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sabah telah mengambil langkah tegas menghalang kemasukkan pelancong dari negara-negara yang terkesan dengan koronavirus.

Katanya, usaha berkenaan telah membantu melindungi rakyat kita tetapi kita juga sedar lambat laun, COVID-19 akhirnya akan turut merebak di Sabah seperti yang berlaku di tempat-tempat lain di dunia.

“Minggu lalu, kes positif disahkan di Tawau melibatkan lelaki warga emas berusia 58 tahun yang merupakan sebahagian daripada 300 jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling antara 29 Februari sehingga 1 Mac.

“Sejak itu, pegawai kesihatan telah mengesan lebih banyak kes daripada golongan yang menyertai perhimpunan itu dan langkah-langkah telah diambil untuk mengetahui kedudukan mereka serta individu yang mempunyai kontak dalam tempoh 10 hari lalu sejak mereka pulang.

“Jabatan Kesihatan dan pihak-pihak lain telah berkerja keras mengesan mereka dan mengenal pasti kawasan yang mungkin tercemar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shafie berkata, tindakan pantas telah diambil untuk menutup buat sementara waktu masjid dan surau di kawasan yang dikenal pasti tercemar dengan COVID-19.

“Saya merayu orang ramai memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan patuh kepada nasihat pegawai kesihatan.

“Saya sedar semua pihak perlu berkorban terutama pasukan perubatan kita yang berada di barisan depan. Kita amat bersyukur dengan keberanian dan kerja keras mereka,” katanya lagi.

“Kerajaan akan melakukan apa sahaja langkah yang perlu untuk menghentikan penularan COVID-19,” katanya sambil menambah orang awam perlu bertenang dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.