KAUNTER JPJ TUTUP MULAI ESOK

KOTA KINABALU: Semua perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk di Pejabat Pos akan ditutup mulai esok sehingga 31 Mac depan.

Selain JPJ, penutupan itu juga meliputi semua perkhidmatan kaunter di bawah Kementerian Pengangkutan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata langkah itu dibuat dengan mengambil kira kesihatan awam dan kakitangan di barisan hadapan selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bertujuan mengelakkan orang ramai daripada berhimpun.

“Oleh yang demikian, semua urusan berkaitan JPJ seperti memperbaharui cukai jalan kenderaan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal mySIKAP AWAM JPJ dan perkhidmatan MYEG di www.myeg.com.my.

“Pada masa sama, semua cawangan JPJ di seluruh negara termasuk aktiviti dan operasi penguatkuasaan akan terus berjalan seperti biasa dengan pengurangan kakitangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, demi menjamin tahap keselamatan orang ramai yang menggunakan jalan raya.

“Pihak JPJ juga akan memastikan semua anggota yang melaksanakan aktiviti penguatkuasaan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan, malam ini./BERITA SABAH