COVID-19 : PASUKAN KHAS TANGANI BERITA PALSU

PENAMPANG: Satu pasukan khas telah diwujudkan Polis Sabah bagi menangani penyebaran berita palsu berhubung wabak Covid-19 di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam usaha mengekang penyebaran maklumat palsu ini.

“Kita ada Pasukan Petugas Khas untuk memantau penyebaran fake news (berita palsu) supaya jangan menimbulkan kekecohan atau menimbulkan kerisauan kepada orang awam.

“Seperti apa yang tular semalam di media sosial mengatakan pasukan tentera telah berada di daerah ini dan itu tidak betul. Setakat ini PDRM diberi tanggungjawab sepenuhnya oleh kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri operasi sekatan jalan raya di laluan Putatan-Kota Kinabalu, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim.

Mazli berkata, bagaimanapun
setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung isu berita palsu Covid-19 di Sabah.

Sementara itu, tinjauan sekatan jalan raya berkenaan mendapati masih ramai pemandu kenderaan berlegar di laluan Putatan menuju ke Kota Kinabalu walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang masuk hari kedua.

Berikutan situasi itu, Mazli menyifatkan tahap kesedaran dikalangan orang awam amat rendah sekali dan mereka seakan-akan tidak mempedulikan mengenai bahayanya penyakit Covid-19 ini.

“Rata-rata pengguna jalan raya ketika ditemui memberikan alasan mempunyai urusan di pusat bandar, kerja shif malam dan juga terpaksa bergegas ke hospital.

“Oleh itu, kita akan melipatkan usaha lagi untuk memastikan banyak operasi sebegini untuk memastikan orang ramai mempunyai kesedaran… kita akan terus menasihatkan mereka untuk kurangkan pergerakan,” katanya./BERITA SABAH