LABUAN: Gara-gara enggan menjalani ujian Covid-19, seorang lelaki terpaksa berdepan dengan polis seterusnya diserahkan kepada pasukan perubatan di Hospital Labuan.
Lelaki berusia 68 tahun terbabit merupakan kontak pertama Covid-19 dalam kejadian di Taman Mutiara, Sg Bedaun, Bebuluh, di sini, semalam.
Beliau dilaporkan kontak pertama anak lelakinya yang menghadiri perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan mendapati lelaki itu disahkan kontak pertama hasil daripada siasatan yang dijalankan oleh pihak hospital kerana anaknya yang memaklumkan bahawa mereka tinggal serumah.
“Siasatan mendapati pada 17 Mac lalu, lelaki itu diarahkan hadir secara sukarela bagi menjalani ujian Covid-19 di Hospital Labuan. Bagaimanapun dia tidak mengendahkan sebarang arahan dan perintah untuk hadiri ke Hospital Labuan.
“Berikutan itu, pasukan pegawai perubatan Hospital Labuan pergi ke alamat lelaki itu untuk membawanya ke hospital bagi menjalani ujian Covid-19 namun dia enggan memberi kerjasama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihak Jabatan Kesihatan Labuan meminta bantuan polis bagi melaksanakan perintah dan tugas berkenaan.
“Seorang pegawai dan dua anggota polis memberi bantuan kepada pihak hospital dan menggunakan kekerasan secara minima seperti peruntukkan Seksyen 15(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Lelaki itu berjaya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menjalani ujian Covid-19 dan seterusnya menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin Hospital Labuan,” katanya.
Lelaki itu sangat diperlukan untuk hadir ke Hospital Labuan bagi tujuan ujian saringan dan seterusnya menjalani sesi kuarantin berikutan subjek adalah bapa kepada salah seorang ahli jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Selangor.
Video lelaki itu turut tular di media sosial sejak malam tadi./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ