COVID-19 : MALAYSIA CATAT KEMATIAN KEEMPAT, RAWATAN DI ICU MENINGKAT

KOTA KINABALU: Malaysia mencatat satu lagi kes kematian menjadikan jumlah yang maut akibat Covid-19 sebanyak empat kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa keempat ialah pesakit kes-238 yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun.

Pesakit itu, yang dimasukkan wad di Melaka pada 12 Mac lalu, merupakan antara yang mempunyai kaitan dengan kelompok perhimpunan tabligh.

Sementara itu, perkembangan terbaru juga menyaksikan jumlah pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat kepada 37, dengan 23 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdapat 153 kes jangkitan baru di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 1,183.

Sebanyak 90 kes setakat ini mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur hujung bulan lalu./BERITA SABAH