KERAJAAN SABAH LAKSANA ARAHAN LARANGAN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melaksanakan beberapa arahan larangan sebagai langkah bagi menangani penularan wabak COVID-19 di negeri berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, berkata, arahan berkenaan termasuk menutup operasi jeti penumpang awam antara daerah (Inter-District) di Kudat,
Sipitang, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau mulai 22
hingga 31 Mac kecuali bagi kes-kes kecemasan.

“Selain itu, selaras dengan keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara pada 20 Mac lalu juga, kerajaan negeri akan melaksanakan arahan bermula 22 Mac hingga 31 Mac kelak di mana semua individu yang memasuki negeri Sabah terus dari luar negara melalui udara, laut, sungai dan darat akan dikuarantin di pusat kuarantin selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Safar berkata, kesemua larangan terbabit telah diputuskan menerusi mesyuarat Sabah COVID-19 Command Centre pada hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengarahkan agar kesemua daerah di Sabah dikenakan sekatan jalan raya.

“Setakat ini, hanya 17 buah daerah telah melakukan sekatan jalan raya untuk mengurangkan pergerakan kenderaan yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kerajaan Negeri mengarahkan supaya agar semua daerah mengenakan sekatan jalan raya dengan serta-merta,” katanya.

Safar turut mengesahkan bahawa bekalan makanan di seluruh Sabah adalah mencukupi./BERITA SABAH