COVID-19 : 17 KES BAHARU DI SABAH

KOTA KINABALU: Jumlah kes Covid-19 di Sabah meningkat sebanyak 17 kes hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 136 berbanding 119 kes, semalam.

Statistik berkenaan disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Sabah masih kekal negeri ketiga tertinggi selepas Selangor dengan 292 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 166 kes.

Jumlah kematian akibat Covid-19 di negeri ini juga kekal satu kes namun pada hari ini, negara mencatat tiga lagi kematian iaitu satu di Melaka dan dua di Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhan enam orang, setakat ini.

Daripada jumlah keseluruhan kes di Sabah, Tawau mencatat kes terbanyak iaitu 37 termasuk lima kes terbaharu, hari ini.

Bagi Lahad Datu pula yang sebelum ini mencatat jumlah kes sama seperti Tawau, semalam, tidak menunjukkan pertambahan kes pada hari ini dan jumlahnya kekal sebanyak 32.

Sementara itu, Kota Kinabalu mencatat pertambahan empat kes pada hari ini, menjadikan jumlah 17 setakat ini.

Lain-lain daerah yang mencatat pertambahan kes ialah Kinabatangan sebanyak tiga kes menjadikan jumlah 11 dan Tuaran sebanyak dua kes menjadikan jumlah enam, setakat ini.

Beaufort, Kota Belud dan Kunak pula masing-masing bertambah satu kes, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan Beaufort sebanyak enam kes manakala Kota Belud dan Kunak masing-masing lima kes.

Dalam pada itu, daerah lain-lain yang sebelum ini mempunyai rekod positif Covid-19 tidak menunjukkan pertambahan pada hari ini iaitu Sandakan yang kekal lapan kes, Sipitang (4), Putatan (3), Papar (1) dan Semporna (1)./BERITA SABAH