KOTA KINABALU: Seorang doktor perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan meninggal dunia akibat Covid-19, pagi tadi, menjadikan jumlah kes kematian akibat penyakit itu setakat ini sebanyak sembilan orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullan menerusi hantarannya di Facebook mengesahkan perkara itu, sebentar tadi.
“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian baru berkaitan Covid-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.
“Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak sembilan setakat ini.
“Kes kematian kesembilan adalah pertama di kalangan kakitangan kesihatan yang melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia (kes ke-890) berusia 48 tahun yang merupakan seorang doktor perubatan KKM,” katanya.
Noor Hisham berkata, lelaki terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke negera Turki dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac lalu selepas mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.
“Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.33 pagi, 22 Mac 2020,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata, jangkitan Covid-19 berkenaan disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan (frontliners) mahupun daripada kalangan rakan kerja (working colleague) yang berhadapan dengan pesakit Covid-19.
Tambah beliau, ianya adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara.
“Seluruh warga KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ