COVID-19 : SABAH KINI 169 KES, TAWAU PALING BANYAK BERTAMBAH

KOTA KINABALU: Sebanyak 11 kes baharu Covid-19 direkodkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 169, setakat ini.

Angka terbaharu itu disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Berbanding semalam, hanya tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes, hari ini, iaitu Tawau, Kota Kinabalu, serta Lahad Datu.

Tawau mencatatkan pertambahan paling banyak iaitu sebanyak lapan kes, menjadikan jumlah keseluruhan di daerah itu ketika ini sebanyak 48 kes.

Daerah berkenaan juga kekal sebagai kawasan paling banyak merekodkan kes Covid-19 di Sabah, setakat ini.

Sementara itu, Kota Kinabalu mencatat pertambahan dua kes menjadikan jumlah keseluruhan di daerah itu sebanyak 24 kes manakala Lahad Datu hanya bertambah satu kes pada hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan di daerah berkenaan sebanyak 34 kes.

Bagaimanapun, Lahad Datu dan Kota Kinabalu masing-masing menjadi daerah kedua dan ketiga tertinggi mempunyai kes Covid-19 di Sabah, ketika ini.

Dalam perkembangan sama, lain-lain daerah yang tidak merekodkan pertambahan kes pada hari ini ialah Tuaran yang kekal dengan 12 kes, Kinabatangan dan Sandakan yang masing-masing kekal dengan 11 kes, Beaufort (6), Kota Belud (5), Kunak (5), Putatan (4), Sipitang (4), Papar (2), Ranau (2), dan Semporna (1).

Terdahulu, Sabah kekal sebagai negeri ketiga tertinggi mempunyai kes Covid-19 selepas Selangor yang kini mencatat 354 kes dan Kuala Lumpur yang merekodkan 242 kes./BERITA SABAH