TIADA BAYARAN UNTUK UJIAN PENGESANAN COVID-19

KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada bayaran dikenakan terhadap semua ujian untuk pengesanan Covid-19.

Katanya, perkhidmatan percuma itu adalah untuk semua termasuk warga asing.

“Jika warga asing datang ke klinik atau hospital KKM untuk pemeriksaan penyakit bukan Covid-19, mereka akan dikenakan bayaran mengikut yuran yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, untuk Covid-19, tidak ada bayaran yang dikenakan seperti dinyatakan pekeliling kementerian pada 29 Jan.

“Tidak kira sama ada warga asing kaya atau miskin, mereka tidak akan dikenakan bayaran,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang medianya, hari ini, bahawa bayaran akan dikenakan kepada warga asing yang tampil untuk mendapatkan ujian Covid-19./BERITA SABAH