KOTA KINABALU: Satu garis panduan yang lebih tegas akan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kepatuhan terhadap perintah kawalan pergerakan (PKP), pada Sabtu ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di ibu negara, hari ini.
Katanya, ia termasuk peraturan lebih tegas berkenaan orang ramai yang keluar membeli barang keperluan.
“Mungkin selepas ini banyak sekatan akan dikenakan, sama ada berkenaan pembelian, membeli makanan dan sebagainya.
“Saya belum boleh umumkan lagi, MKN akan keluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih tegas untuk pastikan langkah kita ini berjaya sekat penularan Covid-19,” katanya.
Ismail berkata, ia terpulang kepada orang ramai untuk memastikan perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak lagi dilanjutkan, dan mereka boleh berbuat demikian dengan berada di rumah.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP, yang pada mulanya berkuat kuasa sehingga 31 Mac, dilanjutkan kepada 14 April.
Terdahulu, beliau berkata sebanyak lima peratus warga tidak patuh kepada perintah itu.
“Di pasar dan pasar raya, ada yang patuh dari segi penjarakkan sosial tetapi ramai yang tidak.
“Keadaan mungkin tenang di bandar, tetapi masih banyak kenderaan (di jalan raya), ramai orang masih keluar,” katanya lagi.
Semalam, polis menahan 110 orang yang tidak patuh kepada perintah itu dan memeriksa sejumlah 163,487 kenderaan.
Setakat ini, kes Covid-19 di Malaysia telah mencapai 1,796 kes dengan 21 kematian./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ