COVID-19 : 235 KES BAHARU, KEMATIAN MENINGKAT KEPADA 23 ORANG

KOTA KINABALU: Kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia bertambah dua kes lagi hari ini menjadikan jumlah ketika ini sebanyak 23 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya, hari ini, berkata jumlah berkenaan adalah setakat tengah hari tadi dengan 235 kes baru turut dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan wabak itu sebanyak 2,031.

Katanya, kes kematian ke-22 yang dilaporkan hari ini juga mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan yang diadakan pada hujung bulan lalu itu.

“Kes kematian ke-22 itu melibatkan lelaki berumur 48 tahun yang mempunyai latar penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Kes kematian ke-23 pula melibatkan lelaki berumur 62 tahun dari Kajang yang juga mempunyai latar belakang penyakit kronik.

“Pesakit itu dirawat di Ipoh, Perak pada 23 Mac dan meninggal dunia tengah hari, semalam,” katanya.

Noor Hisham bagaimanapun berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyiasat sama ada pesakit berkenaan mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster.

Terdahulu, beliau turut berkata, daripada 235 kes baru yang dilaporkan hari ini, sebanyak 60 kes mempunyai kaitan dengan kluster tabligh masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur manakala baki 175 kes lagi sedang dalam siasatan./BERITA SABAH