BEAUFORT: Jabatan Perhutanan Sabah masih memantau kebakaran kawasan tanah gambut di Hutan Simpan Binsuluk, di sini yang bermula sejak lebih seminggu lalu.
Setakat kelmarin, kebakaran membabitkan seluas 274 hektar kawasan hutan simpan di sekitar Kampung Kubu, Takuli dan Purun.
Kebakaran terbabit yang bermula sejak Sabtu lalu dipercayai berpunca daripada aktiviti sekumpulan pemancing yang membuat pembakaran di tepi saliran sekali gus mengakibatkan api merebak ke kawasan hutan simpan.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini, berkata ketika ini, operasi yang membabitkan 24 anggota itu sudah berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lebih besar.
Katanya, anggota berdepan kesukaran untuk memadam dan mengawal kebakaran kerana membabitkan lapisan gambut bawah tanah yang sukar dilihat, tiada jalan masuk yang boleh dilalui kenderaan ke kawasan kebakaran, selain sumber air yang terhad akibat cuaca kemarau.
“Semua peralatan memadam kebakaran termasuk pam air terpaksa diangkat dan anggota perlu berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk ke kawasan yang terbakar.
“Jika kebakaran tidak dipadam, kebakaran bawah tanah akan merebak secara perlahan dan membebaskan asap tebal sehingga gambut habis terbakar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mashor berkata, operasi berkenaan diteruskan biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak api merebak ke kawasan lebih luas.
Katanya, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada bomba, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi untuk memantau situasi di hutan itu.
“Selain operasi pemadaman secara teknik konvensional, pengawalan dilakukan dengan membina pemisah api (fire break) bagi menghalang api merebak,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk setempat di sekitar kawasan Hutan Simpan Binsuluk dan kawasan tanah gambut di Semenanjung Klias agar tidak membuat pembakaran terbuka ketika cuaca kemarau.
Individu yang didapati menyebabkan kebakaran hutan simpana boleh didakwa di bawah Seksyen 19 Enakmen Hutan 1968 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.BERITA SABAH

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK