TUARAN: Kerajaan Negeri akan terus memberi bantuan kepada penduduk yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, bagi agihan bantuan bekalan makanan ia akan dibuat melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di peringkat kampung masing-masing.
“Bagi di Tuaran, sebagai permulaan saya telah meminta MPKK megenal pasti penduduk yang terjejas seperti masyarakat miskin tegar, warga emas, golongan ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk diberi keutamaan.
“Ia bagi memastikan bantuan bekalan makanan yang ada, sampai kepada penerima sasaran memandangkan buat masa ini sumber kita agak terhad, iaitu sebanyak 3,000 basket makanan untuk tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu masing-masing 1,000 di DUN Sulaman, Tamparuli dan Kiulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membuat tinjauan dan penyerahan bantuan kepada wakil MPKK DUN Kiulu, di sini hari ini.
Menurut Madius, pihak kerajaan negeri sangat memahami tekanan yang dihadapi rakyat pada ketika ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen P170 Tuaran berkata, sebagai pentadbir, kerajaan Sabah akan sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk manfaat dan kebaikan rakyat secara keseluruhannya.

“Kita sangat prihatin dengan keadaan rakyat. Kita tahu dan sedar ramai petani, nelayan, para peniaga dan penjaja tidak dapat menjalankan aktiviti mereka.
“Di Tuaran sendiri, kita mempunyai Bilik Gerakan yang akan dipantau oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sulaman, Tamparuli dan Kiulu untuk menerima sebarang maklumat bagi memastikan tiada penduduk terjejas yang tercicir.
“Dalam masa yang sama jentera MPPK akan terus mengenal pasti keadaan penduduk di bawah seliaan masing-masing kerana kita tidak mahu ada penduduk yang dapurnya tidak berasap,” tambah Madius.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah turut memaklumkan bahawa bekalan makanan di pasar raya sepanjang PKP adalah mencukupi kerana kilang-kilang makanan dan minuman masih dibenarkan beroperasi.

“Penghantaran makanan dan sayur-sayuran antara daerah juga masih diteruskan.
“Justeru, saya juga mengambil kesempatan ini untuk berpesan agar semua pihak perlu mematuhi arahan pihak berkuasa dan sebarang pembelian dibuat hanya melalui ketua keluarga sahaja,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ