SABAH TIADA PERTAMBAHAN KES COVID-19 HARI INI

KOTA KINABALU: Tiada sebarang tambahan kes positif COVID-19 bagi negeri Sabah dan ia kekal sebanyak 197 kes setakat malam ini.

Menurut laporan Facebook, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, daerah Tawau masih mencatatkan rekod kes tertinggi iaitu 57 kes diikuti Lahad Datu (34) dan Kota Kinabalu (28). 

Semalam jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sabah meningkat kepada 197 apabila 15 lagi kes baharu disahkan.

Penambahan kes tersebut ialah di Tawau dan Sandakan masing-masing dengan empat kes, Kota Kinabalu dan Kinabatangan masing-masing tiga kes, manakala satu lagi di Keningau.

Kes positif di Keningau, iaitu seorang pesakit dari Tambunan yang dirujuk kepada Hospital Daerah Keningau merupakan yang pertama bagi daerah itu semalam.

Dalam pada itu sehingga kini sembilan kes positif telah sembuh iaitu di Lahad Datu (enam) dan Sandakan (tiga) sementara jumlah kematian kekal satu kes.

Orang ramai terus dinasihatkan agar mengikut nasihat serta arahan pihak berkuasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April./BERITA SABAH