KOTA KINABALU: Sebagai langkah mencegah Covid-19, Polis Sabah mengambil inisiatif menyediakan terowong sanitasi mudah alih di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, sekurang-kurangnya sebanyak RM70,000 dibelanjakan untuk membayar pembekal yang akan memasang terowong sanitasi mudah alih di seluruh IPD di Sabah dalam tempoh tiga hari.
Menurutnya, kemudahan itu bukan hanya untuk kegunaan warga polis, sebaliknya orang awam yang mempunyai urusan di IPD juga perlu melakukan pembasmian kuman sebagai bukti ketegasan pihak berkuasa memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Mengambil kira keadaan dan peningkatan Covid-19 yang terus meningkat di Sabah, salah satu yang kita perkenalkan adalah terowong sanitasi mudah alih yang kita sendiri dapat melihat di luar yang mana kita sudah mengenal pasti seorang pembekal yang dapat membekalkannya dan ia mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“InsyaAllah dalam tempoh tiga hari kita akan dapat edarkan semua daerah di Sabah termasuk satu di IPK. Hari ini kita nak buat demonstrasi untuk IPK dan seterusnya pada hari ini juga akan mula bergerak dan memasang di 20 daerah.
“Inisiatif ini diambil menunjukkan komitmen polis Sabah dalam melaksanakan PKP ini dan memastikan keselamatan warga PDRM ketika bertugas dilapangan dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang di IPK Sabah, hari ini.

Zaini berkata, pada masa ini, pegawai dan anggota PDRM Sabah juga terdedah kepada kepada penularan wabak Covid-19 ini.
“Setakat hari ini, seramai 121 pegawai dan anggota yang disyaki Covid-19 dan dikuarantin manakala seramai 48 orang disahkan negatif Covid-19 selepas tempoh kuarantin berakhir.
“Hanya seorang anggota yang disahkan positif Covid-19 namun berada dalam keadaan yang stabi dan sedang dirawat di Hospital Sibu, Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, dalam menunjukkan rasa prihati kepada pegawai dan anggota PDRM Sabah yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ini, pihaknya memberi bantuan dan sumbangan berbentuk barangan keperluan rumah kepada 57 pegawai dan anggota PDRM di Sabah.
“PDRM Sabah mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana turut membantu menyediakan keperluan kepada petugas-petugas frontliners.
“Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga saya panjangkan kepada semua pasukan sahabat yang membantu PDRM Sabah dalam menguatkuasakan PKP fasa pertama dan kedua ini dalam mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ