SABAH TERIMA BANTUAN KELENGKAPAN TERMASUK 200,000 TOPENG MUKA

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menerima pelbagai bantuan termasuk 200,000 topeng muka dan pelbagai barang bekalan makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan kelengkapan untuk memerangi wabak Covid-19 di negeri ini mencukupi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata, antara barangan lain yang diterima adalah 50,000 sarung tangan, dan 10,000 liter ‘hand sanitizer’.

“Kesemua barangan berkenaan adalah untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) iaitu di hospital, klinik dan sebanyak 37 pusat kuarantin yang telah diwartakan selain keperluan petugas-petugas barisan hadapan seperti polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Imigresen Malaysia dan beberapa agensi lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah bertungkus-lumus menguruskan penghantaran bekalan-bekalan perubatan yang kritikal itu dengan bantuan serta kerjasama penuh daripada pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Subang menggunakan pesawat khas Airbus A400 dari Skuadron 22 TUDM Subang.

“Sehubungan itu, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta petugas penerbangan yang terlibat dengan operasi penghantaran ke negeri Sabah.

“Ucapan terima kasih juga kita sampaikan kepada semua agensi yang terlibat termasuk NADMA, MKN Negeri Sabah, KKM, polis, tentera, RELA, APM, dan semua agensi yang telah memberi kerjasama erat demi membendung wabak Covid-19./BERITA SABAH