KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan satu kematian terbaharu akibat Covid-19, hari ini, menjadikan jumlah korban kini dua orang.
Menurut perkembangan terbaharu yang disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, pesakit yang meninggal dunia adalah daripada kes di Tambunan.
Pesakit terbabit adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.
Satu lagi kes kematian akibat Covid-19 sebelum ini adalah berlaku di daerah Tawau.
Sementara itu, Sabah juga mencatat peningkatan 33 kes Covid-19, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 238 kes.
Pertambahan kes itu membabitkan enam daerah iaitu Kota Kinabalu yang meningkat sebanyak lima kes, Kinabatangan tiga kes, Penampang dua kes manakala Tuaran, Beaufort dan Kunak masing-masing meningkat satu kes.

Jumlah pesakit yang telah sembuh di Sabah setakat ini juga ialah seramai 34 orang termasuk satu terbaharu, hari ini.
Sementara itu, Sabah kekal negeri kelima tertinggi mencatat kes Covid-19 selepas Selangor yang kini merekodkan 943 kes, Kuala Lumpur (622) dan Johor (438) dan Sarawak (261)./BERITA SABAH


More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ