TUARAN: Pusat Khidmat Parlimen P170 Tuaran menyalurkan lebih 400 pakej makanan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sulaman, di sini, hari ini.
Bantuan berupa beras, minyak masak, mee kuning, telur, gula dan beberapa makanan asas yang lain disampaikan Ahli Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Menurut Madius kesemua bantuan diagihkan melalui Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang telah diamanahkan untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal, miskin tegar, Orang Kurang Upaya dan warga emas.
“Sebenarnya pengagihan di Dun ini agak mencabar kerana di sini terdapat beberapa kes positif Covid-19 yang telah direkodkan.
“Namun ia bukan menjadi batu penghalang untuk kita datang bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas,” katanya.
Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kira-kira 2,000 lagi bantuan pakej makanan akan menyusul di DUN Sulaman selepas ini.
Katanya, pakej makanan itu diperuntukkan kerajaan negeri untuk para penerima yang telah dikenal pasti oleh MPKK masing-masing.
“Saya telah meminta agar bantuan susulan ini diselaraskan sebaiknya melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sulaman dan Pusat Khidmat Parlimen Tuaran.
“Kita mahu agar bantuan makanan ini benar-benar sampai kepada golongan sasar, iaitu mereka yang dapurnya sudah tidak berasap,” katanya.
Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dun Sulaman, Rahman Jali./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ