KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat sebanyak 184 kes baru menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 4,530 kes.
Jumlah berkenaan kali ini mengatasi jumlah pesakit pulih iaitu seramai 165 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang telah sembuh dan discaj seramai 1,995 orang.
Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya, hari ini, memaklumkan tiga lagi pesakit meninggal dunia akibat wabak itu, menjadikan jumlah kematian kini sebanyak 73.
Berikut adalah tiga pesakit yang meninggal dunia:
Pesakit 3,091 (kematian ke-71)
Lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout. Beliau mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19 dari kluster perhimpunan Seri Petaling (iaitu pesakit 452).
Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 1 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.05 tengah hari, hari ini.
Pesakit 537 (kematian ke-72)
Lelaki warga Malaysia berumur 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.
Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 15 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 11.15 pagi, hari ini.
Pesakit 2,399 (kematian ke-73)
Lelaki warga Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.
Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak pada 25 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.00 tengah hari, hari ini./BERITA SABAH

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad