ANAK GAJAH DITEMUI MATI

LAHAD DATU: Bangkai seekor anak gajah Pygmy Borneo yang dipercayai mati akibat diracun ditemui di Ladang KUB Malua, di sini.

Anak gajah betina berusia antara lima hingga 10 tahun itu ditemui pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, bedah siasat dilakukan keesokan hari selepas ditemui dengan siasatan awal mendapati anak gajah itu mati akibat keracunan.

Katanya, ia berdasarkan hasil bedah siasat yang mendapati berlaku pendarahan pada limpa dan kedua-dua belah buah pinggang serta terdapat ulser dan pendarahan pada lapisan perut.

“Tiada kecederaan pada bahagian luar anggota haiwan itu.

“Kita juga masih menunggu laporan penuh keputusan ujian makmal,” katanya./BERITA SABAH