KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengambil langkah drastik bagi membendung penularan penyakit ini di dua hospital yang dikenalpasti sebagai kluster penularan Covid–19.
Dua hospital berkenaan ialah di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), di Likas, dekat sini dan Hospital Keningau.
Pengarah Kesihatan Datuk Dr Christina Rundi berkata antara langkah diambil ialah membuat saringan ke atas semua anggota kesihatan yang terlibat termasuk juga kontak keluarga dan sosial.
Katanya, mereka juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin sama ada di rumah atau di kemudahan yang telah disediakan oleh JKNS.
Penemuan kluster terbabit adalah hasil siasatan terperinci pihak JKNS berkaitan kes jangkitan Covid-19 membabitkan anggota kesihatan sejak dua minggu lalu.
“Kluster Covid-19 di HWKKS turut menyumbang kepada peningkatan kes bagi daerah Kota Kinabalu yang kini telah mencapai angka 42 dan menjadi Zon Merah kedua di Sabah selepas Tawau.
“Daripada jumlah itu, 24 kes adalah dari kluster tabligh manakala kluster anggota kesihatan pula merekodkan 11 kes di mana lapan daripadanya membabitkan mereka yang bertugas di HWKKS.
“Hasil siasatan awal mendapati punca jangkitan kes adalah daripada luar hospital dan kemudiannya menjangkiti beberapa kontak sekerja,” katanya, semalam.
Christina berkata, siasatan juga mendapati tiada berlaku jangkitan silang kepada pesakit kerana semua anggota menggunakan PPE semasa bertugas.
Katanya, besar kemungkinan, jangkitan telah berlaku di luar wad kerana terdapat kes positif dalam kalangan kontak sekerja yang juga merupakan kontak serumah.
“JKNS ingin menasihatkan orang awam untuk tidak bimbang dengan situasi ini kerana pihak kami akan sentiasa berusaha untuk memastikan fasiliti kesihatan tidak menjadi tempat penularan penyakit Covid-19.
“Pihak JKNS juga akan memastikan perkhidmatan hospital dapat diteruskan seperti sedia ada,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ