SIPITANG: Polis menahan dua wanita kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan merayau-rayau di sekitar kawasan Batu 7, Sindumin, dekat sini, kelmarin.
Dua suspek berusia 27 dan 37 tahun itu ditahan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh bersama anggota polis ketika menjalankan tugas pemantauan Op Covid-19 ‘snap chat’ jam 3.30 petang.
Champin berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek wanita itu menaiki kereta jenis Perodua Viva menghala dari Kampung Batu 1 ke kawasan Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR), Sindumin.
“Apabila ditahan dan ditanya tujuan hendak ke mana, suspek memberi alasan hendak pergi ke rumah rakannya yang tinggal di kawasan SAMUR, bagi tujuan mengambil kereta untuk dihantar ke Hospital Sipitang.
“Alasan yang tidak munasabah itu menyebabkan kedua-dua suspek ditahan kerana mengingkari PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai penagih dan pengedar dadah syabu.
“Siasatan lanjut ke atas suspek berusia 37 tahun itu mendapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah.
“Tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana melanggar arahan tanpa alasan yang munasabah,” katanya.
Sehubungan itu, Champin menasihati orang ramai di daerah ini supaya patuh arahan PKP fasa 3 ini kerana polis bertindak lebih tegas menahan sesiapa sahaja yang melanggar perintah ini./BERITA SABAH

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK