KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sangat menekankan kepentingan kuarantin bagi individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar atau dalam negara kerana kebanyakan positif Covid-19 di negeri ini tidak menunjukkan gejala awal.
Pengarah JKNS Datuk Dr Christina Rundi berkata daripada 293 kes Covid-19 yang telah dianalisa, didapati 249 kes atau 85 peratus tidak mempunyai gejala pada peringkat awal.
“Keadaan ini amat membimbangkan kerana mereka berpotensi untuk menjangkati kontak rapat tanpa disedari.
“Oleh itu dalam usaha membendung penularan Covid-19, langkah kuarantin ini penting untuk memutuskan rantaian jangkitan agar virus tersebut tidak merebak dan menjangkiti orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kini pihaknya masih mengesan kes Covid-19 dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah pergerakan ke luar negara seperti Thailand, Indonesia, dan Amerika Syarikat.
“Begitu juga kepada individu Sabah yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semenanjung kerana masih terdapat kes Covid-19 yang dilaporkan di sana,” tambahnya.
Christina berkata sehingga Ahad lepas seramai 53 orang telah ditempatkan di 24 pusat kuarantin di seluruh Sabah./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ