TANGKI TAMBAHAN ATASI MASALAH AIR DI KIONSOM, KOKOL

KOTA KINABALU: Masalah bekalan air yang sering dihadapi penduduk Kampung Kionsom di Inanam dan Kampung Kokol di Manggatal, dekat sini, bakal selesai apabila Kementerian Pembangunan Infrastruktur bakal membina tangki tambahan di dua kawasan berkenaan.

Menterinya, Datuk Peter Anthony, berkata, sebanyak empat tangki simpanan air baharu bernilai RM800,000 akan dibina di dua kampung itu bagi menampung keperluan kira-kira 4,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, kampung berkenaan masing-masing akan menerima dua tangki simpanan air baharu yang mampu menampung sehingga 30,000 liter air.

“Pembinaan tangki simpanan air berkenaan turut merangkumi pembinaan sambungan paip-paip ke rumah penduduk kampung. Kos untuk membuat projek berkenaan di Kampung Kokol adalah RM500,000 kerana ia membabitkan kira-kira 3,000 penduduk.

“Manakala Kampung Kionsom hanya menelan belanja kira-kira RM300,000 kerana ia hanya membabitkan 1,000 penduduk.

“Pembinaan tangki simpanan air berkenaan adalah sebagai tambahan tangki sedia ada di kampung berkenaan yang kini tidak dapat menampung jumlah penduduk, khususnya pada musim kemarau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tangki air di kampung berkenaan dan menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada penduduk kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri Inanam, di sini, hari ini.

Peter berkata pembinaan tangki berkenaan akan dimulakan sebaik sahaja arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Tangki berkenaan akan mengumpul air yang disalurkan melalui air graviti. Kampung berkenaan sebenarnya tidak mempunyai masalah sumber air namun masalah yang dihadapi adalah tangki simpanan air yang tidak mencukupi.

“Oleh itu saya berharap masalah bekalan air ini dapat diselesaikan apabila tangki baharu itu siap kelak,” tambahnya.

Mengulas mengenai penyampaian bantuan itu, Peter berkata bantuan keperluan makanan seperti beras, tepung dan gula itu akan diserahkan kepada penduduk di lebih 40 kampung di kawasan Inanam yang terjejas semasa PKP ini.

“Bantuan daripada kerjaaan ini akan berterusan dan kita akan pergi ke semua tempat untuk mengagih-agihkan bantuan seumpama ini untuk meringankan beban penduduk kampung,” katanya./BERITA SABAH